Saturday 13 December 2014

Aku bukan si Saiful

Selesai membeli sarapan Azratai singgah di meja menunggu tetamu membelek suratkhabar. Seperti biasa dia selak bahagian belakang sekali. Ya, ada orang lelaki mempunyai tabiat dengan memulakan bacaan suratkhabar dari belakang, sebabnya mencari berita sukan, terutama sekali yang obses dengan bola sepak. Mengetahui pasukan pilihan mendahului lawan di carta, player mana yang mencetak gol dan pengurus pasukan mana yang dipecat adalah ‘gossip halal’ yang nikmat bagi mereka. Namun tak kurang juga ada dari kalangan mereka yang mulakan dengan mencari keputusan nombor ekor. Nauzubillah…

Sesetengah pula suka mulai dari bahagian tengah iaitu mencari sisipan hiburan minggu ini dan menyemak intisari rancangan tv . Biasanya golongan ini terdiri kakak-kakak atau adik-adik yang ada menyimpan keinginan untuk menjadi sukses dalam dunia glamor tapi gagal dalam ujian bahasa Arab Tinggi dan matematik tambahan, tapi bukanlah semua.

Dan bagi mereka yang memulakan membaca dari bahagian depan mereka biasanya bersifat normal,rambut tersisir rapi, sentiasa mendengar cakap cikgu dan jarang melanggar deadline kerja. Sedang tekun menelaah ada seorang akak menyapa mesra “ Atai, kenapa kau baca paper dari belakang… kau suka main belakang ehh?”

Mendengar teguran yang sedemikian menjadikan hidup Azratai semakin tertekan.

Azratai dan jentik-jentik

Setiap pagi seperti biasa Azratai menunaikan kewajipan sebagai seorang manusia. Mengikut sumber google manusia yang normal akan membuang sebanyak satu atau dua kali sehari. Sambil-sambil termenung tu Azratai merenung dalam baldi yang berisi air separuh. Dia nampak dua tiga ekor jentik-jentik berlumba-lumba dalam air.Dia terfikir sama ada nak bunuh atau nak biarkan saja. Sudahlah makhluk itu lemah dan tidak berdosa, lagipun ianya masih kecil dan masih tidak mengerti makna hidup, Dia jadi berbelah bagi, lama dia membuat berfikir. Sudahnya, selesai sesi membuang hajat pun dia tak berbuat apa-apa keputusan. Lagipun dia takde rasa nak jadi pembunuh hari itu.

Malam itu nak masuk dinihari, Azratai terjaga dua tiga kali, dalam keadaan separa sedar dia bertepuk tampar dengan diri sendiri. Paling dia tak tahan bila nyamuk ‘merempit’ di sekitar telinga dan mengerumuni kaki. Ini, gara-gara bekalan ubat nyamuknya kehabisan tak disangka. Hatinya merungut panas. Seluruh tubuhnya dibalut dengan cadar dan kelajuan kipas di set pada kelajuan maksimum. Biar tunggang langgang semua nyamuk di ribut badai kan kipas jenama KDK. Sejuk sedikit tak mengapa, dia masih boleh tahan lagi.

Dia dah bulat keputusan, besok pagi-pagi dia akan pastikan jentik-jentik yang dalam baldi tadi selamat dipam dalam lubang jamban.